IQNA

Islam memimpin perpaduan umat

15:23 - September 22, 2021
Berita ID: 3100174
TEHRAN (IQNA)- Keseluruhan ideologi dan teori ciptaan manusia terkini sama ada di blok Timur mahupun blok Barat, semuanya berlandaskan pendekatan materialisme (fahaman kebendaan semata-mata). Sehingga ia mencetuskan Perang Dingin (Cold War) dan banyak peperangan yang ganas paling melampau.

﴿…لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٦٣﴾

“…Walaupun kamu membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan antara hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal: 61-63)

Keseluruhan ideologi dan teori ciptaan manusia terkini sama ada di blok Timur mahupun blok Barat, semuanya berlandaskan pendekatan materialisme (fahaman kebendaan semata-mata). Sehingga ia mencetuskan Perang Dingin (Cold War) dan banyak peperangan yang ganas paling melampau.

Begitu juga dengan pendekatan pragmatisme yang menyesuaikan mengikut keadaan dan tertegak atas landasan yang sama sepertimana pendekatan materialisme. Kedua-dua pendekatan itu sekadar memenuhi keperluan nafsu dan jasad sahaja, tanpa memenuhi keperluan roh serta akal yang sihat dan matang.

Walaupun kebendaan itu menjadi salah satu rukun kehidupan manusia yang diperlukan, namun ia juga menjadi punca berlakunya pertelingkahan yang tajam. Malah, ia juga membawa kepada pergaduhan dan peperangan yang bukan sahaja berlaku dalam keluarga besar manusia di seluruh dunia atau dalam sesebuah negara. Bahkan, berlaku juga perkelahian dalam sebuah keluarga dalam bentuk yang paling kecil kerana harta.

Dua Perang Dunia yang berlaku sebelum ini, dan beberapa siri peperangan antara negara adalah bermula dengan perkelahian soal sempadan dan perebutan hasil negeri. Terkini berlaku krisis dalam satu blok Barat antara Perancis dengan pakatan baharu Amerika Syarikat, British dan Australia (AUKUS) kerana pembatalan penjualan kapal selam Perancis. Begitu juga krisis antara Amerika Syarikat dan China dalam perlumbaan ekonomi.

Keadaan yang berlaku itu menunjukkan bahawa aspek ekonomi kebendaan sahaja tidak mampu menyatukan hati seluruh manusia. Hal ini demikian kerana, fitrah kejadian manusia itu mempunyai aspek-aspek lain yang juga perlu diambil kira. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana sebagai Pencipta alam dan makhluk manusia, memberikan petunjuk yang betul dan tepat dengan sifat kejadiannya.

Manusia perlu kepada pemimpin yang bertaqwa kepada Allah SWT kerana pemimpin itu akan memandu mereka ke jalan yang benar. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kalian, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kalian).” (Surah al-Hujurat: 13)

Hanya sifat taqwa yang mengawal aspek rohani dan akal, mampu mengawal segala tindakan manusia supaya berlaku adil dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan berkonsepkan persamaan hak sahaja sepertimana yang diuar-uarkan. Hal yang tersebut disebabkan oleh keperluan dan kemampuan manusia yang tidak sama.

Oleh itu, langkah yang perlu diambil bukanlah dari sudut persamaan tetapi kesaksamaan atau keadilan yang meletakkan sesuatu menepati ukurannya mengikut fitrah yang berbeza. Sebagaimana yang diterangkan oleh firman Allah SWT:

﴿أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُمْ مَعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ٣٢﴾

“Apakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, dan Kami telah meninggikan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain dengan beberapa darjat; agar sebahagian daripada mereka mendapat kemudahan dalam menjalankan kehidupannya dengan (bantuan) sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah al-Zukhruf: 32)

Manusia memerlukan kepimpinan yang dapat mengawal diri mereka dengan sifat taqwa, lalu mengurus dan bertindak atas perhitungan adanya dosa dan pahala yang berprinsipkan ibadat serta kepatuhan kepada Allah SWT sebagai Penciptanya. Kelak Allah akan melakukan hisab pada Hari Akhirat, bukan sekadar kehidupan di alam dunia sahaja. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ٥٦ مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ٥٧ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ٥٨﴾

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (56); Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. (57); Sesungguhnya Allah itu Dia sahajalah yang Memberikan rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia sahajalah) yang Mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Tuhan yang Maha Kuat kekuasaan-Nya. (58).” (Surah al-Zariyat: 56-58)

Dan juga firman Allah SWT:

﴿أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ١١٥ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ١١٦﴾

“Maka apakah kalian menyangka, bahawa sesungguhnya Kami hanya menciptakan kalian secara main-main sahaja (tanpa sebarang hikmah) pada penciptaan itu, dan bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami? (115); Maka, Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia. (116).” (Surah al-Mu’minun: 115-116)

Perpaduan itu tidak boleh mengikat jasadnya semata-mata, kerana dalam diri manusia terdapat akal dan perasaan yang dikawal oleh jantung hati yang menggerakkan jasadnya dalam segala tindakan. Firman Allah SWT menjelaskan tentang perkara tersebut:

﴿فَكَأَيِّنْ مِنْ قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ فَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَى عُرُوشِهَا وَبِئْرٍ مُعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍ مَشِيدٍ٤٥ أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ٤٦﴾

“Maka, bukan sedikit negeri-negeri yang Kami telah binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh dan ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong dan ditinggalkan). (45); Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang mempunyai hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (46).” (Surah al-Hajj: 45-46)

Begitu juga sabda Rasulullah SAW:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، ‌إِذَا ‌صَلَحَتْ، ‌صَلَحَ ‌الْجَسَدُ ‌كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ.

“Ketahuilah bahawa dalam jasad (manusia itu) ada segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa segumpal daging itu ialah jantung hatinya.” (Riwayat al-Bukhari 52 dan Muslim 1599)

Jantung hati itulah yang mengalirkan darah dan juga perasaan yang memerintahkan akalnya untuk melakukan apa sahaja mengikut arahannya.

Maka, pendekatan dari aspek kebendaan semata-mata yang dibawa oleh semua ideologi, termasuklah penekanan dari aspek kemasyarakatan yang dibawa oleh komunis dan sosialis, dan penekanan yang menekankan kebebasan individu mengikut penekanan liberal kapitalisme adalah semuanya tidak lengkap.

Selain itu, terdapat kalangan yang menekankan aspek kerohanian tanpa jasad sepertimana malaikat, ataupun menekankan aspek nafsu berjasad tanpa akal dan roh sepertimana binatang. Semuanya tidak melengkapkan aspek kejadian dan fitrah penciptaan manusia secara lengkap dan sempurna.

Islam bukan sahaja lengkap ajarannya yang merangkumi segala aspek kehidupan, bahkan juga dikawal oleh ciri taqwa daripada hatinya yang berwawasan dunia sehingga akhirat. Maka ia menjadi syarat-syarat kepimpinan yang mampu menyatukan manusia dengan kepuasan hatinya dan memenuhi seluruh keperluan hidup secara saksama dalam segala aspek fitrah kejadiannya. Pada masa yang sama, terkawal dengan hati yang beriman dan gerak jasad yang budiman, serta akal yang berpengetahuan.

Allah SWT mendahulukan ciri taqwa dalam konteks hubungan kejadian manusia melalui firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari diri yang satu (Adam AS), dan daripada (Adam) itu Allah menciptakan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang memkembangbiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kalian selalu meminta dengan menyebut-yebutkan nama-Nya, serta (peliharalah) hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)

Kemudian, ditegaskan oleh Allah SWT bahawa menegakkan keadilan kepada semua merupakan sebahagian daripada ciri taqwa. Hal ini dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil; dan jangan sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Ayat di atas menegaskan betapa sifat taqwa itu menggerakkan manusia agar berlaku adil, walaupun terhadap kalangan musuh. Justeru, itulah langkah yang berjaya menjinakkan hati manusia.

Pendekatan Islam yang bertindak baik terhadap mereka yang pernah menzaliminya telah berjaya menukar sikap permusuhan kepada persahabatan. Bertepatan dengan firman Allah SWT:

﴿وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ٣٣ وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ٣٤ وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ٣٥ وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ٣٦﴾

“Dan tiada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!’ (33); Dan tidaklah sama (kesan dan hukum) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila kamu berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34); Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan, melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar. Dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan, melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan dunia dan akhirat. (35); Dan jika kamu dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (36).” (Surah Fussilat: 33-36)

Kenyataan sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam adalah hasil ilmu duniawi yang diambil daripada pelbagai bangsa yang bernaung di bawah payung pemerintahan Islam yang bertaqwa kepada Allah SWT dan berlaku adil kepada semua. Sehingga akhirnya masing-masing tidak bersikap bakhil dalam menyumbang ilmu dan pengalaman yang dipandu oleh petunjuk Islam.

harakahdaily.nethttps://harakahdaily.net/index.php/2021/09/21/islam-memimpin-perpaduan-umat/

captcha