IQNA

Sapu tangan buat tutup rambut ketika memeluk Islam

12:19 - September 23, 2021
Berita ID: 3100180
TEHRAN (IQNA) - Bermula keinginan mahu selalu berdoa kepada Allah selepas bersolat sebagai tanda sokongan rakan sebiliknya yang menderita suatu penyakit, mengetuk pintu hati Tokoh Mualaf Wilayah Persekutuan 2021, Nurmaisarah Leong, memeluk Islam.

Nurmaisarah, 54, mula tertarik dan mendalami Islam ketika duduk sebilik dengan rakan beragama Islam sewaktu melanjutkan pengajian di sebuah di ibu kota.

Ketika itu, salah seorang rakan sebilik di asrama diganggu makhluk halus, yang kemudian berubat dengan ustaz sebagai salah satu ikhtiar untuk kesembuhan itu.

"Ketika membawa rakan berubat, seorang ustaz berpesan supaya kami rakan sebilik sentiasa menjaga amalan, berdoa dan tidak meninggalkan bersolat.

"Pesanan itu sering terngiang-ngiang dalam fikiran saya, bagaimana cara untuk berdoa dan bersolat serta menjaga amalan itu.

"Dari situ saya terfikir, bagaimana nak bantu sedangkan saya tidak ada 'amalan' dan bukan beragama Islam.

"Bermula detik itu secara perlahan-lahan saya belajar mengenai Islam. Saya diajar mengambil wuduk oleh rakan sebilik," katanya mengimbas memori mengenai keputusannya menukar agama daripada Buddha kepada Islam ketika berusia 39 tahun.

Pembantu Mubaligh S19 Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) ini, berkata semuanya berlaku pantas dan tidak mudah seperti yang disangkakan.

Mungkin ada yang beranggapan beliau memeluk Islam kerana pengaruh rakan Islam.

"Saya melihat sekarang ramai mualaf yang berpendidikan tinggi dan golongan itu memberi balik dan ada menjadi guru agama di pelbagai agensi dan NGO.

"Perkembangan baik ini menunjukkan mualaf tidak hanya melafazkan syahadah semata-mata hanya untuk berkahwin tetapi keikhlasan untuk mendalami Islam seterusnya menjalankan fardu kifayah sebagai hamba-Nya," katanya yang mengajar bahasa Mandarin dengan sebahagian yuran disalurkan pembinaan Masjid Jamek Cina Muslim Klang.

captcha