IQNA

Muslimat PAS Putatan serah Al-Quran terjemahan kepada hospital

13:30 - September 25, 2021
Berita ID: 3100188
TEHRAN (IQNA) - Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan mengambil inisiatif menyumbang naskhah Al-Quran terjemahan kepada Hospital Queen Elizabeth 1, di sini, kelmarin.

Program ringkas yang diadakan di lobi hospital tersebut merupakan yang kedua dalam siri penyerahan naskhah Al-Quran terjemahan yang mana penyerahan 40 naskhah telah disempurnakan di Hospital Queen Elizabeth 2, minggu lalu.

Seramai enam petugas diketuai oleh wakil pimpinan Muslimat PAS kawasan, Siti Mariam Morshidi menyampaikan 85 naskhah Al-Quran itu kepada wakil hospital, Mohd Adrian dan Norafizah Kifli. Pihak hospital memberikan respons positif dan sangat mengalu-alukan sebarang kerjasama sebegini.

Menurut Siti Mariam, program itu dilaksanakan kerana menyedari pentingnya pemantapan rohani para pesakit dan frontliner dalam menghadapi ujian pandemik yang mencabar.

“Apa yang kita harapkan, Al-Quran terjemahan yang kita sampaikan ini dapat membantu para pesakit memantapkan rohani. Sebagaimana yang kita maklum, kalimah Allah dapat menenangkan jiwa dan menjadi syifa’ (penyembuh) sakit,” ujarnya.

Beliau memaklumkan program itu adalah di bawah usaha Lajnah Ekonomi dengan kerjasama Lajnah Dakwah Muslimat PAS kawasan hasil daripada infaq orang ramai.

“Kita memilih saiz kecil dan senang dibawa bagi memudahkan para frontliner membacanya,” tambahnya.

Bagi pihak Muslimat PAS Kawasan, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat para penyumbang bagi menjayakan program berkenaan.

Kata beliau, pihaknya mengharapkan sumbangan berterusan daripada para penderma bagi meneruskan aktiviti kebajikan untuk membantu masyarakat. 

HARAKAHDAILY

captcha