IQNA

Terengganu benar aktiviti keagamaan di masjid, surau

13:41 - September 25, 2021
Berita ID: 3100189
TEHRAN (IQNA) - Masjid dan surau di seluruh Terengganu kembali dibenarkan untuk menganjurkan aktiviti pengajian dan agama berkuatkuasa serta-merta.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kebenaran tersebut berikutan peralihan tempoh Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa pada 17 September lepas.

Menurutnya, keputusan itu juga telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Beliau berkata, baginda bertitah agar semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau dibenarkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan ditetapkan.

“Selaras dengan peralihan Fasa 3 PPN di Terengganu, Maidam telah bersetuju memperluas pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri ini setelah mendapat pandangan Jabatan Kesihatan.

“Majlis akad nikah juga dibenarkan di masjid, surau dan premis persendirian dengan mengikut garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Majlis akad nikah di pejabat agama daerah dibenarkan bagi kes-kes tertentu sahaja dengan mendapat kelulusan daripada pesuruhjaya JHEAT, ” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Osman berkata, aktiviti ziarah kubur dibenarkan dengan memastikan SOP dan keselamatan dipatuhi.

Katanya, semua madrasah, pondok dan pusat tahfiz yang berada di bawah kawalan JHEAT juga dibenarkan menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tertakluk kepada SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Mana-mana masjid, surau dan institusi keagamaan lain yang diarahkan tutup mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tidak dibenarkan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan," katanya.

.sinarharian.com.my

 

captcha